Kenyataan SPRM menyatakan bahawa wang yang masuk dalam akaun persendirian Najib adalah wang sumbangan daripada penderma. Tidak pula dinyatakan siapa si penderma yang sangat-sangat bermurah hati mendermakan wang sebanyak RM 2.6 bilion. Tidak juga dinyatakan bagaimanakah wang yang luar biasa banyaknya itu dibelanjakan. Sepanjang yang saya fahami, kenyataan SPRM tidak pula menyatakan wang derma itu untuk Umno.
Kalau benar untuk Umno, masakan Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno dan bekas TPM tidak tahu? Apakah Majlis Tertinggi Umno juga tidak tahu? Daripada kenyataan-kenyataan beberapa pemimpin Umno terutama bekas TPM bahawa mereka tidak tahu kewujudan wang ini. Kalau untuk Umno, kenapa tidak dimasukkan ke dalam akaun Umno? Saya percaya ramai ahli Umno dan Majlis Tertinggi Umno tidak tahu perkara ini. Kalau mereka tahu sudah pasti mereka akan nyatakan sejak awal lagi bagi menepis tuduhan-tuduhan liar terhadap Najib.
Mutakhir ini terdengar suara-suara sumbang daripada jemaah menteri Najib. Rahman Dahlan memang ditugaskan Najib untuk menolak sebarang tohmahan terhadap Najib. Azalina pula cuba mengampu bosnya dengan menyatakan sumbangan kepada parti politik adalah lumrah dalam dunia politik. Sementara itu Khairy Jamalaudin pula menyatakan Najib tidak melakukan kesalahan jenayah menerima wang derma itu. Kita tidak hairan suara-suara sumbang yang lantang bergema kerana mereka sememangnya ditugaskan untuk menyelamatkan Najib. Itulah patruhan yang mesti dipikul setelah diangkat dalam kabinet Najib meskipun terpaksa mengorbankan maruah mereka.
Seperti yang saya katakan tadi, sekiranya Majlis Tertinggi Umno ketahui kewujudan wang ini, sudah pasti tidak akan sampai sekecoh seperti ini. Sudah terbukti sekarang, memang benar Najib menerima sejumlah wang yang besar dalam akaunnya. Meskipun belum tahu siapa yang menyumbang wang itu, hakikatnya transaksi sudah berlaku. Untuk apa wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank Najib? Ini juga gagal dimaklumkan oleh SPRM. Apakah sebagai penjawat awam, menerima wang sejumlah besar itu bukan rasuah?
Akhir-akhir ini berlaku tangkapan dan soal siasat di antara anggota Pasukan Penyiasat itu sendiri. Beberapa orang kuat SPRM telah ditahan reman dan disoal siasat oleh pihak polis. Mengikut KPN ada kemungkinan Gabnor Bank Negara dan Timbalan SPRM juga akan disoal siasat. Apa hal pula ini? Mereka adalah sebahagian daripada anggota penyiasat. Polis nampaknya cuba mencampuri urusan penyiasatan SPRM. Apakah SPRM akan menggunakan kuasanya untuk menangkap polis dengan alasan menganggu penyiasatannya. Sudah jadi caca marba nampaknya Pasukan Penyiasat ini. Ada lebih baik dibubarkan sahaja pasukan ini kerana ianya membuang masa dan wang sahaja. Rakyat pun sudah mula hilang kepercayaan terhadap pasukannya. Hasilnya juga akan terus diragui.
Saya sokong cadangan Ketua Pemuda Parti Gerakan supaya ditubuhkan Suruhanjaya DiRaja yang bebas bagi meneruskan penyiasatan ini. Saya sendiri sudah mencadangkannya dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini. Inilah satu-satu caranya bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Dalam apa-apa penyiasatan, adalah lebih molek orang yang kena tuduh bercuti atau melepaskan jawatannya sementara siasatan masih berjalan. Ini bagi memastikan bahawa tidak ada gangguan terhadap penyiasatan yang dijalankan dan bagi mengelakkan sebarang tekanan daripada pihak yang kena tuduh. Najib enggan berbuat demikian, namun apa yang kita lihat ialah pihak penyiasat semacam terkena tekanan daripada beliau. Tanggapan ini tidak boleh diremehkan apabila tindakan-tindakan yang tidak masuk akal menjadi kewajaran.
Najib mesti disiasat dengan menyeluruh. Najib harus tinggalkan kerusi PM nya kerana banyak menimbulkan syak wasangka rakyat terhadapnya. Kalau Najib tidak didakwa, atau pihak penguatkuasa tidak berani mendakwa, maka tidak ada jalan lain melainkan menyokong tindakan gerangkan NGO 'demi Malaysia' yang secara terbuka mahu Najib ditangkap dan didakwa. Jangan sampai rayat keluar beramai-ramai ke jalan raya menuntut Najib ditangkap. Kalau secara demokrasi Najib masih enggan berundur dan pihak penguatkuasa enggan mendakwa, tidak mungkin suara rakyat akan 'menjatuhkannya' di jalan-jalan raya. Jangan sampai perkara ini berlaku. Semoga Malaysia terus aman damai. Insyallah.
No comments:
Post a Comment