Sunday, 2 August 2015

Kasihan Dr. Mahathir

Dr. M merungut, sekarang ini dia ditinggalkan keseorangan. Dia semakin sunyi dan tertekan kerana orang-orang yang dahulunya datang menziarahinya sudah beransur-ansur 'menghilangkan' diri. Kata Dr. M dulu dia kerap dikunjungi oleh orang ramai terutama sekali pemimpin-pemimpin Umno Bahagian dan Cawangan yang datang mengadu tentang kepimpinan Najib dan juga tentang skandal 1MDB. Kata Dr. M lagi, sekarang ini mereka sudah berpaling tadah, sebaliknya mereka memberi sokongan kepada Najib pula.

Dr. M tidak patut hairan dengan fenomena ini. Inilah budaya Umno. Pemimpin dan ahlinya hanya akan memberi sokongan kepada ketua mereka yang mempunyai kuasa. Pada zaman Dr. M dulu, inilah juga senarionya. Mereka sokong Dr. M bukan kerana Dr. M betul dalam petadbirannya, tetapi kerana kuasa politik yang ada ditangannya. Kuasa politik itulah akan menentukan survival pemimpin bawahan dalam Umno. Tidak ada gunanya menyokong pemimpin yang tidak punya kuasa, yang tidak akan memberikan manfaat kepada mereka. Lihat bagaimana anggota Umno yang menyebelahi Anwar Ibrahim ketika krisis Mahathir-Anwar dahulu. Ramai pemimpin dalam Umno menyokong Anwar termasuk Zahid Hamidi. Pada mulanya mereka menyangka krisis Anwar akan berjaya menumbangkan Mahathir. Apabila kelihatan Anwar tidak lagi ada kuasa politik, maka seorang demi seorang mula berundur termasuk orang-orang kuat Anwar seperti Roslan Kassim dan kawan-kawannya. Itulah hakikatnya. Jadi Dr. M tidak patut berdukacita dengan 'hilangnya' orang-orang seperti ini, kerana bagi mereka bukan prinsip dan maruah menjadi piroriti perjuangan mereka, sebaliknya ialah kepentingan diri menjadi keutamaan.

Sekarang, Dr. M sendiri melihat ulangtayang apa yang pernah dilakukannya sebelum ini. Apa-apa tindakan Najib adalah selari dengan apa yang pernah dilakukan oleh Dr. M. Sebagai contoh, pemecatan Timbalan Perdana Menteri. Ada banyak lagi contoh boleh diberikan. Dr.M sebenarnya sedang melihat tindak-tanduknya di dalam cermin. Saya teringat pesan Allahyaraham Ustaz Fadil Nor supaya ahli Pas mendoakan Dr.M panjang umur agar dia dapat melihat sendiri apa yang berlaku ketika hayatnya. Dan nampaknya, apa yang dibayangkan oleh Fadil Nor semakin terserlah sekarang. Ini kera tidak ada bezanya tindakan Najib dengan Dr. M sebelum ini, kecuali hal-hal yang menimbulkan syak wasangka umum terhadap Najib seperti skandal 1MDB dan kes Atantuya.

Najib dikatakan sangat gembira apabila dia mendapat sambutan rakyat Melaka ketika berkunjung ke Melaka semalam. Dikatakan seramai 50,000 orang menghadiri perhimpunan bersama rakyat di Melaka. Najib merasakan dia mendapat sokongan padu rakyat Melaka. Dia rasa gembira dan senang hati dan sekaligus berjanji akan membantu kerajaan Melaka dalam membina prasarana yang lebih sempurna. Najib nampaknya akan berbuat apa sahaja termasuk memberi dalam bentuk material kepada sesiapa yang menyokongnya. Ini juga berlaku dalam era Dr. M. Jadi apa yang mahu Dr. M pertikaikan lagi? Ini budaya dalam Umno yang sudah dimulakan oleh Dr.M sendiri. Umno tidak akan boleh berubah hanya dengan menggantikan PM sahaja. Umno mesti menukar seluruhnya sistem yang ada sekarang yang lebih merakyat dan bersifat madani. Banteras rasuah dengan berani, barulah rakyat akan yakin tentang transformasi. Transformasikan dulu Umno, baru fikirkan bagaimana mentransformasikan rakyat. Wallahaualam!

No comments: